Are you mad? Itu yang dikatakan oleh akauntan jutawan Brian Burnie, apabila majikannya menyatakan hasrat untuk menderma hotel mewahnya bernilai sekitar GBP 20 juta.
Seorang jutawan Britain yang mendermakan hotel mewahnya, hotel yang asalnya sebuah rumah besar lama berusia beratus tahun, diubahsuai dengan kos sebanyak GBP 16 juta. Pada asalnya dia ingin menggunakan seluruh keuntungan dari hotel mewah itu untuk tujuan kebajikan, namun ditukar ideanya. Kini dengan rasminya hotel mewah itu akan dijual dan seluruh hasilnya akan didermakan kepada persatuan kanser. Kos jualannya sudah tentu melebihi GBP 20 juta (RM 110 juta).
Berikut tiga kata-kata beliau yang menarik hati saya :
"While owning property and making money is important, it is not as important as people."
"The biggest thing with most people is money, but with me it is not. I want to give it up and do something more for others."
"We can all do something by leaving money to charity when we die, but why don't we do something while we are still living?''
Apa yang disebut pertama tadi bertepatan dengan tanggungjawab sosial dalam Islam. Malah di dalam Islam pembangunan jatidiri individu rakyat sememangnya jauh lebih penting dari pembangunan material seperti bangunan pencakar langit dan lainnya.
Yang kedua pula bertepatan dengan ajaran Islam agar tidak bersikap pentingkan diri dan sentiasa memikirkan manfaat yang diperolehi untuk dikongsi dengan orang ramai, dan yang ketiga pula bertepatan dengan sabdaan Nabi :-
Ertinya : "Dan janganlah kamu bertangguh-tangguh (dalam bersedeqah) sehingga sampainya (nyawamu) di kerongkong (hampir mati)" (Riwayat Al-Bukhari, no 1353)
Jutawan Dan Hartawan Muslim
Bagi jutawan Muslim, Islam menganjurkan pendekatan yang sedikit berbeza, banyak pula yang sama. Yang paling berbeza adalah keperluan jutawan Muslim untuk menyembunyikan sumbangan dan sedeqahnya. Allah swt berfirman :
Ertinya : "Dan sekiranya kamu menyembunyikannya (sedeqahmu) dan memberikannya kepada faqir miskin, demikian adalah LEBIH baik bagimu"
Nabi s.a.w bersabda ertinya : "Sedeqah yang dilakukan secara sembunyi memadamkan kemurkaan Allah swt."
Memang benar, jutawan Muslim yang bersifat dermawan memang ramai, banyak juga sumbangan yang telah dihulurkan kepada pelbagai pihak sama ada secara senyap atau terbuka. Tan Sri Mokhtar Al-Bukhari adalah satu ikon utama yang pasti terlintas di minda kita apabila sahaja membuka cerita sebegini. Saya secara peribadi juga mengenali beberapa individu dermawan seperti Dato Hj Rameli Musa, Pengasas Ingress Corporation Berhad, dan ramai lagi.
Namun demikian, jumlah golongan ini masih belum cukup besar, masih ramai lagi hartawan dan jutawan Muslim yang masih belum dan terlalu berkira-kira untuk menyumbang, kita sewajarnya lebih laju dari hartawan bukan Islam yang saya sebutkan di atas.
Kita sewajarnya lebih sedar bahawa menyumbang sama ada melalui zakat yang wajib atau sedeqah yang sunat akan menambah berkat dan rezeki dari Allah swt. Menambah rezeki yang bersifat spiritual. Sabda Nabi s.a.w :-
Ertinya : "Tiadalah harta itu berkurang disebabkan oleh sedeqah" ( riwayat Muslim)
Kini, sudah ramai yang merasakan kesan sumbangan yang dikeluarkan adalah pertambahan, bukan kurang. Malah ia turut dirasa oleh hartawan bukan Islam seperti Bill Gates, beliau pernah menyebutkan hal ini dalam satu majalah antarabangsa satu ketika dahulu (namun saya gagal mencari keratannya).
Para Ribuan, Jangan Beralasan
Jika mereka sudah merasakan nikmah kebahagiaan hasil pemberian itu, bilakah kita pula?. Jangan ditunggu kita bergelar jutawan atau billionaire untuk bertindak, mulakan dari sekarang secara kecil-kecilan sesuai dengan kemampuan kita. Walau adakalanya kita tidak layak untuk membayar zakat wajib harta atau pendapatan kerana beban kewangan yang lebih besar dari pendapatan, namun jangan sekali menjadikannya sebagai alasan untuk tidak menderma dan menyumbang. Moga dengan sumbangan kecil dan ikhlas itu, mampu menjadi pembersih harta kita dan penyuburnya.
Juga ingatlah, derma dari seorang yang sikit harta lebih besar ganjarannya dari derma individu yang besar hartanya. Sebuah hadis menyebut :-
Ertinya ; "Sedeqah yang paling utama adalah menggembirakan fakir dan dikelaurkan dala keadaan sedikit harta" ( Riwayat Ahmad 5/178 ; Tafsir Ibn Kathir, 1/701)
Ikhlaskan niat dan jangan pula ‘kotor mulut' mencela apabila sedeqah yang diberi kelihatan tidak menambah keuntungan duniawi dalam jangka masa yang segera. Saya bimbang, ada yang menderma dengan niat yang satu, iaitu untuk mengharapkan untung berganda setelah dimotivasikan oleh para ustaz bahawa bersedeqah boleh menambah keuntungan, lalu apabila tiada pertambahan lalu dicelanya hadis, dicelanya ustaz, disesalinya sedeqah yang pernah di lakukan dahulu sebagai silap dan salah. Ingatlah firman Allah swt :-
Ertinya : "Orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang dinafkahkannya itu dengan menyebut-nyebut pemberiannya dan dengan tidak menyakiti (perasaan si penerima), mereka memperoleh pahala di sisi Tuhan mereka. Tidak ada kekhawatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati " (Al-Baqarah : 262)
Lihat dan fahamilah dalam-dalam erti yang tersurat pada ayat ini, setiap pemberian sedeqah mestilah diriingi oleh rasa puas, gembira, tiada khuatir, tiada sedih dan sesal.
Bukankah pakar-pakar motivasi sedunia malah doktor menyatakan, antara faktor yang boleh memberikan kesihatan tubuh, awet muda dan fikiran terfokus adalah KURANG STRESS dan hati yang gembira. Bergembiralah wahai penderma, gembira memberi dan menyumbang sama ada ilmu, harta, masa dan tenaga dengan rela dan redha. Nesacaya kita akan lebih tenang dan tersenyum, prestasi boleh meningkat, idea boleh bercambah.
Bukankah Allah swt yang menggerakkan hati-hati dan minda manusia lain sama ada untuk memberi kita kontrak dan tender, mengambil kita bekerja, menaikkan pangkat, melantik kita untuk jawatan itu dan ini, memberi kepercayaan utnuk tugasan baru yang lumayan dan lain-lain. Lalu yakinilah dan bersangka baiklah dengan Allah swt, nescaya Allah akan menunaikan sangkaan baik kita.
Kesimpulan
Terlalu ramai orang yang sentiasa sibuk memikir cara untuk MENDAPATKAN wang dan harta untuk dirinya, ye, MENCARI WANG, MENAMBAH WANG, MENGUMPUL WANG. Siang, malam pagi dan petang berhempas pulas minda dan tenaga mencari jalan. Sehingga ingin sahaja dilanggar semua jalan yang berpotensi, walau ia haram atau syubhat. Yang penting dalam mindanya, adalah poketnya semakin tebal. Sedangkan seluruh penghumpulan itu sekadar di dunia yang pendek ini.
Malangnya, sangat kurang yang berhempas pulas memikirkan bagaimana untuk MENYUMBANG WANG, MEMBERI WANG, SEDEQAH WANG. Bukankah memberi ini demi kehiduapan selepas kematian yang terlalu amat panjang masanya. Mulakan berfikir untuknya, sebenarnya untuk kita juga.
Brian Burnie, jika seorang jutawan bukan Islam warga Britain boleh berkata dan bertindak berdasarkan kata-katanya ini:
"We live in a "me, me, me" society and it has always been important to me to think of others"
Lalu apa lagi alasan kita, bersedeqahlah sebelum sampai nyawa di kerongkong... Adakah si kaya ini gila kerana mendermakan wang yang begitu banyak? Atau kita yang mabuk dengan pencarian wang secara petingkan diri tanpa sebarang pemberian?
Artikel asal oleh: Dr. Zaharuddin Abd Rahman (www.zaharuddin.net)