Suatu masa dulu…
Hamba Mu ini hanyut dalam arus kehidupan,
Begitu sibuk mengejar impian,
Dengan harapan mendapat penghormatan dan kemewahan,
Dunia yang fana ini menjadi matlamatku,
Cinta berteraskan nafsu menjadi buruanku,
Perihal akhiratku tiada ku endahkan,
Perintah dan larangan Mu tidak ku hiraukan,
Azab dan seksaan Mu tidak ku risaukan,
Syurga dan neraka tidak ku fikirkan…
Sehinggalah pada suatu hari…
Engkau menguji ku dengan kegagalan,
Yang memusnahkan segala harapan,
Menjadikan hamba Mu ini bergelut dengan kesedihan…
Ya Rahman…
Di saat itu sangat sukar bagi ku menerima kenyataan,
Ku bertanya di mana kesilapan dan kesalahan,
Hingga ku persoalkan apa yang telah Engkau takdirkan,
Ku menjerit di mana keadilan dan belas kasihan Mu oh Tuhan!
Dan kini...
Barulah ku sedari,
Pada kegagalan yang ku anggap suatu ketidakadilan itu,
Terselit nikmat kasih sayang Mu ya Rahim,
Kerana melalui kegagalan itulah aku mula mengenali Mu,
Disebabkan kegagalan itulah aku menyedari bahawa
Dunia tidak patut dijadikan matlamat,
Cinta berlandaskan nafsu tidak patut dijadikan buruan,
Lantas aku berpaling darinya dan berlari ke arah cinta Mu,
Hanya keredhaan Mu sahajalah yang ingin ku raih kini...
Ya 'Azim...
Inginku luahkan kesyukuranku kepada Mu,
Kerana di antara berjuta manusia,
Engkau telah sudi memilih diriku yang hina dina ini,
untuk menerima taufiq dan hidayah dari Mu
dan menghijrahkan diriku dari alam jahiliyah
ke alam uluhiyyah dan ubudiyyah...
Ya Allah...
Aku amat berterima kasih kepada Mu
Kerana Engkau tidak pernah membiarkan diriku terus tersesat
Dalam kehidupan yang serba sementara ini,
Meskipun ketika itu aku sering terlalai dari mengingati Mu...
Memang tidak dapat dinafikan lagi,
Bahawa sesunggungnya Engkau Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang…
Ya 'Aziz…
Izinkanlah aku untuk terus berada di dalam jalan Mu ini untuk selama-lamanya,
Janganlah Engkau kembalikan aku ke lorong gelap yang membawa kepada kesesatan,
Ampunkanlah kejahilan dan kelalaianku selama ini,
Pimpin dan bimbinglah hamba Mu yang lemah ini ke arah cinta Mu,
Ku mohon agar Engkau teguhkanlah tugu keimanan ku,
Benarkanlah aku untuk merasai halawatul iman,
Anugerahkanlah kepada ku kekuatan dan kesabaran,
Pekakkanlah telinga ku dari sebarang sindiran dan ejekan,
Kebalkanlah jasadku dari segala kesakitan,
Dalam menjalankan amanah yang Engkau pikulkan di bahu ku…
Ya Khaliq...
Jadikanlah setiap hembusan nafasku,
Setiap kelipan mataku,
Setiap degupan jantungku,
Setiap helaian rambutku,
Setiap bait perkataanku,
Setiap hayunan tanganku,
Setiap langkah kakiku
Dan setiap titisan darahku,
Hanyalah untuk Mu…
Sebelum tiba ajalku,
Ingin ku merayu kepada Mu,
Bukakanlah pintu hati insan di sekelilingku,
untuk mengampuni dosa-dosaku terhadap diri mereka,
Lancarkanlah lidahku untuk menjawab soalan malaikat utusanMu,
Luaskanlah dan terangilah tempat pembaringanku,
Meriahkanlah pusaraku dengan ayat-ayat suci Mu,
Permudahkanlah perjalanan ku di alam seterusnya...
Curahkanlah redha Mu terhadapku sepanjang hayatku
Dan izinkanlah aku untuk mengadapmu Di dalam Jannah yang serba indah...
Dan esok, Andainya aku tidak bernafas lagi,
Sampaikanlah ucapan selamat tinggalku kepada insan yang ku sayangi,
Bimbinglah mereka sepertimana Engkau telah sudi membimbing diri ini,
Agar dapat ku bertemu dengan mereka lagi,
Di pertemuan yang hakiki,
Di dalam syurga yang kekal abadi...